Berita Am
- qisan
- Siaran Terkini
- Hits: 1
Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan Suku Tahun Pertama 2026
- qisan
- Siaran Terkini
- Hits: 1
Ekonomi Malaysia diunjur bertumbuh 5.3 peratus pada suku tahun pertama 2026, kekal berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan geopolitik global
Anggaran KDNK awalan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku tahun pertama 2026, berbanding 6.3 peratus pada suku tahun sebelumnya. Prestasi ekonomi ini disokong oleh pengembangan dalam sektor Perkhidmatan, Pembuatan, Pembinaan dan Pertanian. Walau bagaimanapun, sektor Perlombongan & pengkuarian mencatatkan penurunan pada suku tahun ini. Dari segi prestasi suku tahun ke suku tahun, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.4 peratus berbanding pertumbuhan positif 3.3 peratus pada suku tahun keempat 2025.
Sektor Perkhidmatan berkembang 5.4 peratus pada suku tahun ini berbanding 6.3 peratus pada suku tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh prestasi subsektor Perdagangan borong & runcit, Maklumat & komunikasi dan Pengangkutan & penyimpanan. Sektor Pembuatan bertumbuh sebanyak 5.8 peratus pada suku tahun pertama 2026 lebih rendah berbanding 6.1 peratus pada suku tahun sebelumnya. Prestasi ini didorong oleh peningkatan output dalam subsektor Produk elektrik, elektronik & optikal; Minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan; dan Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka. Sektor Perlombongan dan pengkuarian menguncup 1.1 peratus pada suku pertama tahun 2026 berbanding peningkatan 2.0 peratus pada suku tahun sebelumnya. Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam subsektor Minyak mentah & kondensat dan Gas asli pada suku tahun ini. Sektor Pertanian mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.8 peratus pada suku tahun ini, menyederhana daripada 5.4 peratus pada suku tahun keempat 2025. Prestasi ini didorong oleh subsektor Kelapa sawit dan Ternakan. Sementara itu, subsektor Getah dan Perikanan mengalami penguncupan pada suku tahun ini. Sektor Pembinaan bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 7.8 peratus pada suku tahun pertama 2026 (ST4 2025: 11.0%). Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi positif dalam semua segmen dengan Aktiviti pembinaan pertukangan khas dan Bangunan bukan kediaman sebagai penyumbang utama.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) komited untuk menyusun dan menyebarkan statistik yang memenuhi keperluan pengguna statistik. DOSM akan mengeluarkan KDNK preliminari suku tahun pertama 2026 dan KDNK tahunan yang disemak semula pada 15 Mei 2026.


